TABUNG AMANAH ZAKAT, UPM.

"MEMANTAP UKHUWAH, MEMPERKASA UMMAH"


11:28 AM

ZAKAT DAN ANDA (Siri 1)

Posted by NURULIMAN BIN IBRAHIM Unit Pengurusan Zakat dan Kerohanian.

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Dalil wajib ibadat ini antaranya berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud : “Dan dirikanlah sembahyang serta tunaikanlah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu beroleh rahmat.” (al-Nur 24 : 56)

Apabila seseorang itu berzakat dia sebenarnya telah membersihkan harta yang dimilikinya, firman Allah S.W.T yang bermaksud : “Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan menyucikan mereka dan doakanlah untuk mereka, sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Taubah 9 : 103)

Pengertian menyucikan bermaksud membuang sifat kikir, tamak haloba serta bakhil dalam diri seseorang, manakala jika dilihat dari perspektif si miskin pula ia dapat menyucikan diri daripada iri hati, dengki serta menaruh perasaan dendam terhadap orang yang kaya. Membersihkan diri pula bermakna, mengembalikan hak-hak si miskin yang telah pun ditentukan dalam harta ataupun pendapatan seseorang. Ini dijelaskan lagi di dalam firman Allah yang bermaksud : “Dan pada harta-harta mereka, ada hak untuk orang miskin yang meminta dan yang tidak meminta.” (al-Zaariat 51 : 19)

ZAKAT PENDAPATAN
Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi dan Dr. Hussein Shahatah, zakat gaji dan pendapatan diistilahkan sebagai zakat al-Mal al-Mustafad iaitu zakat yang bersumberkan gaji dan pendapatan professional.

TAKRIF ZAKAT GAJI DAN PENDAPATAN
Zakat gaji dan pendapatan termasuklah segala jenis hasil pendapatan atau pulangan sebagai balasan perkhidmatan yang berupa gaji, upah, bonus, dividen, hasil sewaan, royalti, hibah, elaun, honorarium, pampasan, pencen, perniagaan bermusim dan lain-lain bentuk perolehan semasa hidup, bersara atau mati dan apa jua pendapatan berdasarkan kerjaya atau sebagai ahli professional.

Terdapat dua kaedah yang biasa digunapakai sebagai garis panduan mengira zakat pendapatan:
1. Kaedah A (yang terbaik)
Membayar zakat keseluruhan pendapatan tanpa menolak sebarang perbelanjaan-perbelanjaan asas yang dibenarkan. 2.5 % atas jumlah pendapatan kasar sebulan (minima RM701 sebulan dan ke atas).
Contoh: Jika jumlah pendapatan kasar bulanan ialah sebanyak RM 701.00, maka bayaran zakat bulanan adalah sebanyak RM 701 x 2.5% = RM 17.50 sebulan.

2. Kaedah B (yang popular)
Membayar zakat setelah menolak perbelanjaan-perbelanjaan asas yang dibenarkan (*berdasarkan kaedah penolakan yang dibenarkan - rujuk www.e-zakat.com.my)
2.5 % atas jumlah pendapatan kasar sebulan (minima RM901 sebulan dan ke atas).
Contoh: Jika jumlah pendapatan kasar bulanan ialah sebanyak RM 901.00, maka bayaran zakat bulanan adalah sebanyak RM 901- *RM 701 x 2.5% = RM 5.00 sebulan.


Kini, segala urusan berkaitan zakat boleh dilakukan di Unit Pengurusan Zakat & Kerohanian, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPM, yang telah dilantik sebagai penolong amil Lembaga Zakat Selangor .

Jenis-jenis zakat :
i. Zakat Pendapatan
ii. Zakat Perniagaan
iii. Zakat Wang Simpanan
iv. Zakat Emas & Perak
v. Zakat Saham
vi. Zakat KWSP
vii. Zakat Ternakan dan Pertanian
iix. Qadha Zakat

Kunjungi kami di Aras Bawah, Sayap Kanan, Kompleks Mahasiswa, UPM (berdekatan masjid UPM).

Semoga dengan tertunainya kewajipan zakat, keseluruhan warga UPM mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah S.W.T. Amin.

0 comments:

Post a Comment