TABUNG AMANAH ZAKAT, UPM.

"MEMANTAP UKHUWAH, MEMPERKASA UMMAH"


8:11 PM

TERIMA KASIH PEMBAYAR ZAKAT UPM

Posted by NURULIMAN BIN IBRAHIM Unit Pengurusan Zakat dan Kerohanian.

Dari 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2009, Tabung Amanah Zakat UPM telah berjaya membuat kutipan zakat sejumlah RM1.84 juta daripada kalangan staf UPM melalui Skim Potongan Gaji dan bayaran di Kaunter Bergerak. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak empat puluh lima peratus (45%) berbanding jumlah kutipan untuk tempoh yang sama pada tahun 2008. Rekod pencapaian tertinggi di sepanjang penubuhan Tabung Amanah Zakat.


Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah ditujukan kepada semua staf yang telah membayar zakat pendapatan dan zakat harta mereka. Semoga Allah S.W.T. menganugerahkan kalian dengan kesihatan dan keselamatan, keberkatan dan kemakmuran, ketenangan dan kebahagiaan yang berkekalan. Amin ya Rabb al-Alamin.

Melalui Perjanjian Perlantikan Sebagai Penolong Amil di antara UPM dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Tabung Amanah Zakat telah diberikan amanah untuk mengagihkan lima puluh peratus (50%) daripada jumlah kutipan setiap bulan, kepada warga UPM yang layak dan berhak.

Sehubungan itu, Tabung Amanah Zakat UPM telah mengagihkan sejumlah RM948,114.00 kepada pelbagai kategori asnaf yang terdiri daripada kalangan pelajar dan staf UPM di sepanjang tahun 2009.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM562,455.00 telah diagihkan kepada golongan fakir, RM245,460.00 kepada golongan miskin, RM120,878.00 kepada asnaf fi sabilillah, RM18,791.00 kepada golongan muallaf dan RM500.00 kepada asnaf ibnu sabil.

Semoga dengan tertunainya kewajiban berzakat dalam kalangan warga UPM, maka kita semua memperolehi segala kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Amin.

"MEMANTAP UKHUWAH, MEMPERKASA UMMAH"
"HARTA TERPELIHARA, ASNAF TERBELA"
"DI DUNIA BERKAT, DI AKHIRAT SELAMAT"

Tunaikanlah kewajiban Zakat di saat berkemampuan dan berkesempatan,
Pohonlah bantuan Zakat di saat kesempitan dan memerlukan.

0 comments:

Post a Comment