TABUNG AMANAH ZAKAT, UPM.

"MEMANTAP UKHUWAH, MEMPERKASA UMMAH"


1:38 PM

APAKAH RASIONAL BERSOLAT?

Posted by NURULIMAN BIN IBRAHIM Unit Pengurusan Zakat dan Kerohanian.

Bersolat bukanlah sekadar satu tanggungjawab. Lebih dari itu, bersolat adalah satu keperluan. Untuk menghayati solat, kita perlulah menikmatinya, bukan sekadar mendirikannya. Jika kita ditanya mengapa kita perlu makan, sudah tentu jawapannya kerana makanan itu satu keperluan untuk kehidupan. Sel-sel badan manusia memerlukan zat-zat, mineral, vitamin dan sebagainya untuk terus hidup. Tanpa makanan manusia akan mati kebuluran. Apabila jumlah makanan di dalam darah berkurangan, otak akan menerima signal yang akan menggerakkan minda manusia itu untuk mencari makanan, isyarat lapar inilah yg memberitahu manusia yang dia perlukan makanan.

Apa akan jadi jika mekanisme lapar itu rosak? Manusia tidak akan hidup lama kerana barangkali dia akan terlupa yang dia perlu makan untuk terus hidup. Apa yang pasti manusia akan melalui beberapa peringkat di mana badan mereka akan sedikit demi sedikit semakin kurus kering, lemah dan akhirnya mati. Apa pula kena-mengena makanan dengan solat?

Makanan yang kita suap adalah makanan untuk jasmani/jasad, manakala solat adalah makanan untuk rohani, makanan untuk roh. Apabila anda melihat tangan, badan dan kaki anda, anda berkata "tangan aku", "badan aku", "kaki aku", akan tetapi "aku" itu di mana? Neurosaintis mencari di manakah letaknya "aku" itu di dalam otak, akan tetapi tidak ditemui walaupun teknologi manusia di zaman ini amat canggih. Manusia yang dipanggil "aku" itu hanya menumpang pada jasad yang diamanahkan oleh Allah untuk menjalankan tugasnya sebagai khalifah di muka bumi. Jasad akan busuk dan reput ditelan bumi setelah mati, hanya roh sahaja yang akan kekal dan bertemu dengan-Nya.

Apa yang terjadi di zaman ini, manusia sibuk memberi makan kepada jasad tetapi tidak memberi makan kepada roh. Solat yg berkualiti akan membina roh yang sihat dan mantap dan boleh menjalankan kerja-kerjanya sebagai khalifah di muka bumi ini dengan lebih berkesan dan akan menyiapkan diri untuk bertemu dengan-Nya andai kata dicabut nyawanya pada bila-bila masa.

Apakah signal lapar bagi keperluan untuk bersolat itu? Jawapannya "iman". Jika semua manusia itu beriman maka tidak akan timbul persoalan rasionalnya untuk bersolat. Umat akhir zaman imannya semakin nipis jadi signal "lapar" untuk bersolat dan memberi makan kepada roh itu sudah tiada, sebab itulah kehidupan didunia ini semakin hari semakin menuju kehancuran.

Fikir-fikirkan...

Dipetik dari Syurga Di Dunia

0 comments:

Post a Comment